ebook


GARIS PANDUAN MENGENAI TATACARA PENGGUNAAN eBOOK NEGERI TERENGGANU


1.      Hak Milik eBOOK

1.1  Pihak pengurusan sekolah berkenaan mempunyai hak untuk memindahkan atau menarik balik eBOOK yang diberi milik kepada pengguna berdasarkan keperluan tertentu, kepentingan semasa atau jika didapati mana-mana bahagian perjanjian, peraturan-peraturan dan syarat-syarat telah diingkari.

1.2  Perkakasan tersebut tidak dibenarkan untuk dijual, disewakan, dipindahkan, dipatenkan, dipinjamkan, disebarkan atau diberi milik kepada sesiapa atau entiti lain sama ada sebahagian peralatan yang dibekalkan atau keseluruhan komponen lengkap tanpa kebenaran pihak Jabatan Pelajaran  Negeri Terengganu.

1.3  Setiap pengguna hendaklah mematuhi dasar dan peraturan yang ditetapkan ini. Di samping itu, setiap pengguna disaran supaya menjadi pengguna beretika dan menghormati pengguna-pengguna lain.

1.4  Pengguna eBOOK akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kehilangan eBOOK atau peralatannya.


2.      Tanggungjawab Pengguna eBOOK

2.1  Pengguna bertanggungjawab memastikan keselamatan eBOOK yang diperuntukkan kepadanya. Pengguna tidak boleh membiarkan eBOOKtersebut berada di kawasan yang terbuka dan boleh dicapai oleh orang lain atau tanpa pemerhatiannya. Pihak pengurusan sekolah berhak mengambil balik eBOOK yang didapati berada di tempat yang tidak selamat atau tanpa kawalan pengguna.

2.2  Sebarang penggunaan secara perkongsian (sharing) seperti pencetak dan pengimbas menjadi tanggungjawab bersama pengguna-pengguna terbabit.

2.3  Pengguna juga hendaklah memastikan kebersihan dan penjagaaneBOOK yang diperuntukan kepadanya dengan sebaik-baiknya.eBOOK disarankan juga ditutup (log off) jika ditinggalkan untuk masa yang lama atau selepas digunakan bagi penjimatan sumber kuasa.

2.4  Pengguna juga dikehendaki menjalankan pogram antivirus bagi mengesan virus dan  ‘spyware’ di dalam eBOOK mereka atau yang dibekalkan oleh pihak pengurusan sekolah. ‘Scanning’ secara keseluruhan hendaklah dijalankan setiap masa bagi memastikan bahawaeBOOK bersih daripada ancaman virus dan ‘spyware’.


3.      Peraturan-Peraturan Am

3.1  Pengguna dilarang sama sekali meminda, menukarkan, mengeluarkan, menambahkan atau mengalihkan komponen eBOOK tanpa kebenaran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

3.2  Pendaftaran eBOOK mesti dilakukan oleh sekolah masing-masing dengan maklumat yang telah ditetapkan(Nombor siri eBOOK, Nama murid, Nombor telefon rumah/telefon bimbit, Nombor kad pengenalan/surat beranak/passport, Tahun pembelajaran/kelas, Nama sekolah, Alamat tempat tinggal, Nama ibu bapa, Tarikh diterima). Rekod pendaftaran mesti disimpan oleh pihak pengguna, sekolah dan pihak Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu untuk tujuan rujukan dan pengauditan.

3.3  Pengguna berdaftar berhak untuk menggunakan eBOOK dan diberikan keistimewaan tersebut mengikut perjanjian, peraturan dan syarat-syarat tertentu. Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu berhak menarik balik kemudahan yang diberikan pada bila-bila masa jika mana-mana bahagian perjanjian, peraturan dan syarat-syarat tertentu diingkari.

3.4  Kemudahan dan peralatan yang disediakan oleh eBOOK hanya boleh digunakan untuk tujuan P&P secara formal atau sebaliknya. Penggunaan selain daripada yang berkaitan P&P adalah tidak dibenarkan seperti untuk tujuan komersial atau kepentingan politik.

3.5  Penggunaan untuk tujuan peribadi yang berpatutan dibenarkan sekiranya amalan itu tidak melibatkan peningkatan kos dan penggunaan sumber  yang ketara sehingga menjejaskan prestasi eBOOK.

3.6  Sentiasa menyelenggarakan ruang cakera keras komputer (housekeeping) untuk menjamin pengoperasian komputer sentiasa pada tahap optimum dan stabil.

3.7  Pengguna hendaklah melapor atau membuat aduan tentang sebarang kerosakan kepada pihak pengurusan sekolah untuk diambil tindakan penyenggaraan dan pembaikan.

3.8  Pengguna dibenarkan menggunakan peralatan ICT yang lain kepada eBOOK tertakluk pada dasar dan peraturan ini.

3.9  Sebarang penggunaan tertakluk pada Dasar Keselamatan ICT KPM Pekeliling ICT Bil. 1 Tahun 2009. Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang penyalahgunaan eBOOK yang dilakukan oleh pengguna.

     3.10 Keselamatan Mengakses Internet mesti mematuhi Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2003 – UPTM 159/526/9 Jld.3 (9) – Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet Dan Mel Elektronik Di Agensi-agensi Kerajaan (http://www.mampu.gov.my/mampu/bm/Circulars/BM/Main.htm).


4.      Dasar Penggunaan eBOOK

4.1  Peraturan Melayari Laman-laman Web

4.1.1        Laman-laman yang boleh dilayari, dilanggani dan digunakan adalah yang berbentuk pendidikan, pengetahuan dan urusan untuk rujukan tugas atau diarahkan oleh pentadbir sekolah atau guru-guru. Laman yang berbentuk keganasan, lucah, hasutan, tidak produktif dan yang boleh menimbulkan atau menyebabkan keganasan, keruntuhan akhlak dan kebencian adalah tidak dibenarkan dan dilarang  sama sekali.

4.1.2        Penggunaan laman-laman yang berbentuk hiburan, hobi atau 'leisure' tidak digalakkan.

4.1.3        Melayari internet tanpa tujuan atau meninggalkan penggunaan internet ‘unattended’ adalah tidak beretika dan tidak digalakkan kerana amalan ini boleh menyebabkan kesesakan talian.

4.1.4        Pengguna tidak dibenarkan menggunakan laman web untuk tujuan komersial kecuali dengan kebenaran pihak JPNT.

4.1.5        Pengguna juga dilarang memuat turun (downloading) sebarang maklumat yang berbentuk hiburan, lucah dan sebagainya.

4.1.6        Pentadbir Rangkaian Sekolah berhak menapis, menghalang, memeriksa dan mencegah penggunaan mana-mana laman web atau kandungan yang dianggap tidak sesuai dan memudaratkan.

.
4.2  Penyalahgunaan Capaian dan Membina Laman Web

4.2.1        Pengguna dilarang mengganggu atau menceroboh laman-laman yang tidak dibenarkan oleh pentadbir laman berkenaan.

4.2.2        Pengguna dilarang memasukkan, menyalin, menciplak, mencetak atau menyebarkan     maklumat-maklumat dari internet yang menyalahi undang-undang negara.


4.3 Penggunaan E-Mail

4.3.1    Pengguna-pengguna e-mail perlu faham bahawa perkara-perkara berikut perlu dipatuhi mengikut Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2003 – UPTM 159/526/9 Jld.3 (9) – Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet Dan Mel Elektronik Di Agensi-Agensi Kerajaan (http://www.mampu.gov.my/mampu/bm/Circulars/BM/Main.htm).


5.      Perisian dan Sistem Pengoperasian eBOOK

5.1  Pengguna dilarang membuang, meminda atau menambahkan sebarang perisian yang telah dimasukkan ke dalam komputer untuk kegunaan mereka. Sebarang pindaan atau pertambahan perisian hanya boleh dilakukan oleh kakitangan yang dibenarkan oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu atau pembekal rasmi yang dilantik. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan eBOOK tersebut mengalami sebarang masalah ketidakstabilan atau kerosakan.

5.2  Pengguna juga dilarang memuat turun (download) sebarang perisian atau ‘screen saver’ dari internet ke dalam eBOOK yang dibekalkan. Langkah ini adalah untuk mengelakkan berlakunya penyebaran virus, ‘spyware’ dan sebagainya.

5.3  Bagi tujuan keselamatan daripada ancaman virus dan sebagainya perisian antivirus yang akan digunakan ialah Symantec Norton Antivirus, AVG Anti Spyware dan sebagainya yang difikirkan perlu dimasukkan mengikut perkembangan semasa.

5.4  Pihak pengurusan sekolah berhak membuang mana-mana perisian yang difikirkan tidak perlu berada di dalam eBOOK kerana boleh membebankan kelajuan sesebuah komputer atau perisian yang dilarang dimasukkan seperti perisian untuk sembang (internet chatting) dan sebagainya.

5.5  Pihak pengurusan sekolah juga akan menyelaraskan program ‘screen saver’ bagi semua eBOOK  supaya menjadi seragam dan standard. Pengguna tidak dibenarkan untuk mengubah atau membuang ‘screen saver’ yang telah ditetapkan ini.

5.6  Perisian-perisian lain selain daripada yang dinyatakan di atas tidak dibenarkan dimasukkan ke dalam komputer melainkan mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment